Insiden dan kontroversi 8TV

  • Pada pertengahan tahun 2004, ketika perlawanan bolasepak Euro 2004 hangat di udara, 8TV didapati menyiarkan iklan pengeluar minuman keras Carlsberg yang merupakan penaja penyiaran perlawanan kejohanan sukan itu. Akibatnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan denda sebanyak RM50,000 terhadap 8TV mengikut peruntukan Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.[4]
  • Pada 13 Januari 2008, pada konsert sambutan ulang tahun, artis Faizal Tahir menanggalkan bajunya hingga mendedahkan dadanya di pentas apabila bersiaran langsung. Akibatnya, pada 19 Januari 2008, SKMM berkata mereka menggantung rancangan-rancangan siaran langsung dan tertunda berbentuk hiburan di stesen 8TV selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari 2008.[5][6]
  • Pada bulan Oktober 2008, SKMM sekali lagi mengerjakan 8TV dengan menggantung serta merta perkhidmatan laman sembangnya setelah mendapati kemudahan terbabit "disalah guna oleh penonton untuk mencari pasangan seks," dengan kemungkinan bakal diharamkan setelah selesainya siasatan pihak SKMM dalam kes ini.[7]
  • Pada awal musim Ramadan 2011, 8TV menyiarkan tiga iklan pengumuman khidmat masyarakat yang dikatakan bersifat perkauman dan menghina kaum Cina kerana menggambarkan seorang wanita Cina yang makan secara terbuka, mengenakan pakaian kurang sopan dan kurang beradab ketika Ramadan, dengan niat untuk memesan golongan bukan Islam supaya menghormati bulan puasa dengan sewajarnya. Iklan-iklan tersebut akhirnya ditarik balik setelah ekoran kecaman oleh pelbagai pihak, termasuk umat Islam yang mengaku turut tersinggung oleh iklan-iklan berkenaan.[8][9]